KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melancarkan Be U, sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya yang pertama seumpamanya di negara ini.
Bank Islam dalam satu kenyataan, berkata teknologi penyelesaian natif awan (cloud-native solution) itu dijangka menjadi batu asas kepada semua bank digital akan datang di Malaysia.
“Aplikasi perbankan serba baharu ini membolehkan pengguna menyempurnakan transaksi perbankan mereka dengan lancar, tanpa perlu mengunjungi cawangan Bank Islam. Ia juga berperanan untuk memperluaskan lagi rangkuman kewangan dengan menyasarkan kepada golongan muda dan celik digital.
“Menerusi antara muka yang menarik dan mesra pengguna, Be U akan membantu pelanggan memahami dan mengurus kewangan mereka dengan pantas dan baik,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk yang memenuhi keperluan mereka.
“Usaha ini sejajar dengan pelan strategik perniagaan lima tahun Bank Islam (LEAP25) yang bermatlamat untuk meletakkan Bank ini sebagai peneraju penyelesaian kewangan Syariah-ESG lengkap dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial menjelang tahun 2025,” katanya.
Katanya, Be U disasarkan kepada generasi muda, menawarkan akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan ciri Nest yang membantu pengguna menabung untuk matlamat tertentu.
Menerusi kelebihan berasaskan awan, pengguna Be U boleh mendapat manfaat daripada ketangkasan aplikasi dan menikmati pengalaman perbankan peribadi yang mesra pengguna dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Mohd Muazzam menjelaskan, Be U memfokuskan kepada segmen pelanggan yang tidak menjadi tumpuan oleh Bank Islam iaitu menarik golongan pengguna yang masih di peringkat awal kehidupan bekerja mereka.
Menerusi aplikasi berkenaan yang tersedia kepada orang ramai sejak pertengahan Jun tahun ini, Bank Islam menyasarkan antara 350,000 dan 400,000 muat turun dan pengguna aplikasi Be U dalam tempoh 12 bulan pertama operasinya.
Tanpa membabitkan sebarang caj untuk membuka akaun Be U melalui platform itu, pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.