SEREMBAN – Seorang guru tuisyen trauma apabila mendapati kereta miliknya dibakar di bahagian belakang dipercayai perbuatan ahlong dalam kejadian di Taman Baiduri, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.16 pagi itu hanya disedari oleh mangsa, Lee Mei Ching, 54, selepas terdengar bunyi hon kereta dan loceng rumahnya ditekan beberapa kali.
Menurut Mei Ching, ketika kejadian dia dan suami serta anak lelaki berusia 25 tahun sedang tidur.
“Saya terjaga selepas terdengar bunyi hon kereta dan loceng rumah ditekan beberapa kali.
“Apabila saya tengok di luar, kereta Perodua Myvi saya yang diletakkan dalam garaj sedang terbakar pada bahagian belakang (bumper) sebelum berjaya dipadamkan,” katanya hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan.
Dalam pada itu Mei Ching berkata, terdapat serpihan plastik yang dibakar ditinggalkan di atas bumbung keretanya selain nota yang tertera nama ‘Ong Teck Xiang’ berserta alamat rumahnya.
“Dalam nota itu turut meminta menghubungi nombor WhatsApp Simon. Saya tak kenal dia siapa dan rasanya ada orang yang menggunakan identiti dan alamat rumah saya untuk meminjam wang,” katanya.
Jelas Mei Ching, secara peribadi dia tidak pernah meminjam wang dengan sesiapa atau mempunyai perselisihan faham dengan mana-mana individu.