KUALA LUMPUR – Pelakon, pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki mengakhiri alam rumah tangganya selepas memutuskan untuk bercerai pada April lalu.
Perkara itu didedahkan bekas isteri, Maria Christina Orow menerusi Instagramnya, semalam.
Berkongsi berita mengejutkan menerusi laman sosial, Instagram, Maria berkata, dia mengambil keputusan mengumumkan perkara itu selepas tempoh edah selama tiga bulan, tamat.
“Saya dan Afdlin membuat keputusan mengakhiri perkahwinan ini pada Ramadan lalu, hanya beberapa bulan sebelum genap usia perkahwinan 25 tahun.
“Keputusan dibuat dengan pantas kerana ia tidak dapat dielakkan lagi. Namun, kami tidak melihat ia sebagai satu yang memusnahkan atau refleksi kepada hubungan kami.
“Justeru, kami memaklumkan perkara ini selepas saya selesai menjalani tempoh edah,” tulisnya.
Maria menjelaskan, mereka mengambil keputusan berpisah selepas hubungan mula bermasalah sejak pandemik COVID-19 lalu.
“Ketika tempoh pandemik, hidup kami mula berubah. Apabila cuba kembali kepada situasi normal, tahun ini dan ada isu lain yang timbul, jadi, nampaknya ia tak boleh dipulihkan.
“Dengan itu, kami memutuskan membawa haluan masing-masing.
“Kami masih ibu bapa kepada anak-anak. Kami tetap menyokong dan mencintai antara satu sama lain sebagai keluarga,” katanya.
Selain akan terus menyokong dan mengutamakan tanggungjawab terhadap tiga cahaya mata, Maria berkata, mereka akan terus berganding bahu sebagai satu pasukan kreatif dan dalam membina syarikat bersama.
“Kami bersetuju perpisahan ini tidak perlu menyakitkan ataupun pengakhiran, sebaliknya sesuatu yang membolehkan kami meneruskan kehidupan peribadi, meskipun tidak hidup bersama.
“Saya tahu Afdlin akan terus menyokong saya sebagai sahabat, jadi, saya juga akan menyokong kehidupannya,” katanya.
Hasil perkahwinan Afdlin dan Maria, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.