SHAH ALAM – Beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang bergelap berikutan bekalan elektrik terputus sehingga mengakibatkan banyak aktiviti komersial terganggu.
Sejumlah pengguna laman sosial menggunakan laman sosial masing-masing untuk mengemas kini Kawasan masing-masing termasuk dari kawasan Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Turut mengalami gangguan bekalan elektrik ialah di Alor Setar, Sungai Petani, Nilai, Seremban, Kuantan dan Pekan.
Seorang pengguna laman sosial Facebook, Azman Ibrahim memuat naik pejabat editorial Utusan bergelap manakala pengguna yang menggunakan nama Lukman mahu Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bertanggung jawab dengan memberi diskaun akibat kerugian susulan gangguan terhadap aktiviti komersial.
“TNB tak kan minta maaf je. Kasilah diskaun elektrik bulan ni,” katanya.
Sementara itu, menerusi akaun TNB Careline di Facebook, konglomerat tenaga itu mengesahkan gangguan bekalan elektrik dan memaklumkan pasukan teknikal TNB sedang mengenal pasti punca kejadian dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.
“Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” menurut hantaran itu.