RANAU: Gempa bumi lemah dilaporkan berlaku di daerah Kundasang pada jam 7.27 pagi tadi dengan gegaran dirasai sekitar Kundasang dan Ranau.
Gempa bumi lemah itu dikesan berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur dengan magnitud 3.1.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan mengesahkan, gempa bumi itu dikesan pada jarak 13 kilometer barat laut dari Ranau pada kedalaman 10 kilometer.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Talib, ketika dihubungi berkata bomba tidak menerima sebarang aduan susulan gempa bumi itu.
“Setakat ini keadaan terkawal dan hasil laporan pasukan bomba yang memantau, tiada kerosakan bangunan dilaporkan,” katanya.