BINTANG Argentina, Lionel Messi buat pertama kalinya tidak berada dalam senarai akhir 30 pemain untuk merebut anugerah Ballon d’Or, Lionelbagi saingan 2022.
Pemenang tujuh kali anugerah Ballon d’Or itu gagal tersenarai selepas menampilkan aksi cukup mengecewakan bersama Paris Saint-Germain (PSG) musim lalu apabila hanya menjaringkan 11 gol dalam 34 perlawanan.
Meskipun menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan awal musim ini, namun ia masih belum cukup untuk memastikan Messi disenaraikan bagi merebut anugerah yang dianggap paling berprestij di dunia itu.
Sementara itu, seteru utama Messi iaitu Cristiano Ronaldo yang juga pemenang lima kali berada dalam 30 senarai akhir tersebut, sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila disenaraikan sebanyak 18 kali sejak 2004.
Dalam pada itu, enam pemain Real Madrid disenaraikan bagi anugerah tahun ini termasuk pemain pilihan, Karim Benzema yang membantu kejayaan pasukan memenangi saingan Liga Juara-Juara musim lalu.
Pemain antarabangsa Perancis itu menampilkan aksi cukup menakjubkan sepanjang kempen 2021/22 apabila meledak 27 gol bagi saingan La Liga selain menjaringkan 15 gol dalam 12 perlawanan Liga Juara-Juara.
Difahamkan, pemenang bagi anugerah Ballon d’Or akan diumumkan pada 17 Oktober depan, sebulan sebelum saingan Piala Dunia 2022 berlangsung. – AGENSI