BOSTON – Seorang wanita gelandangan yang terpisah dengan ‘suaminya’ dan enam anaknya yang kesemuanya merupakan patung berwajah seram atau zombi meluahkan perasaan gembira selepas bertemu semula dengan mereka.
Felicity Kadlec, 23, dari Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) mengahwini pasangannya iaitu patung bernama Kelly Rossi, dalam satu majlis kecil pada 2018 yang turut dihadiri oleh empat rakan keluarga dan lapan patung lain, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Wanita itu juga turut mempunyai hubungan dengan patung makhluk asing bernama Robert, yang dibeli secara online ketika usianya 17 tahun.
Pasangan itu terpisah selepas dihalau keluar oleh seorang ahli keluarganya tahun lalu dan Felicity terpaksa menyimpan suami dan kesemua anaknya berusia tiga hingga 10 tahun itu di dalam peti simpanan.
Menerusi satu hantaran di YouTube pada Ogos lalu, Felicity memberitahu bahawa dia dan keluarga patungnya itu telah berpindah ke sebuah apartmen satu bilik tidur.
Dia turut mengakui pernah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki sebenar, namun teman lelakinya memilih untuk berpisah selepas Felicity menceritakan mengenai patung-patungnya.
Tambah peminat filem seram itu, ketika umurnya 13 tahun, mendiang bapanya membelikan Kelly buatnya selepas ibunya meninggal dunia, sebelum dia ‘jatuh cinta’ dengan patung tersebut pada umur 16 tahun. – Agensi