RIBUAN peminat Billie Eilish sanggup beratur panjang demi menyaksikan konsert pemenang Anugerah Grammy 2020, Billie Eilish di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Mula menempah kemasyhuran sekitar 2015, Eilish mempertaruhkan genre muzik elektro pop indie mencetus fenomena luar biasa sekali gus menarik peminat untuk menyaksikan bintang pop kelahiran Los Angeles, California itu beraksi sempena konsert Happier Than Ever The World Tour 2022 pada 8.30 malam ini.
Menerusi perkongsian TikTok @constipatedvegetable, dia mengakui menjadi individu ke-10 dalam barisan dan telah beratur seawal pukul 5 pagi.
Selain membawa selimut, gadis itu turut membawa mi segera, selimut, payung, kipas dan lain-lain.
Dia turut menulis sepucuk surat untuk dikirimkan kepada Eilish semasa konsert malam ini.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan penyanyi itu berdasarkan lokasi sebelum ini adalah I Didn’t Change My Number, Therefore I Am, My Strange Addiction,You Should See Me in a Crown, Billie Bossa Nova, Goldwing, Male Fantasy, All the Good Girls Go to Hell, Bad Guy dan Happier Than Ever.
Eilish juga melakar rekod apabila karyanya dilaporkan distrim lebih 73 bilion dalam tempoh empat tahun.
Selain Kuala Lumpur, Eilish juga akan singgah di beberapa ibu kota di Asia seperti Manila, Filipina; Singapura; Bangkok, Thailand dan Tokyo, Jepun.