MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai penaung dan Presiden Kuala Lumpur (KL) City FC yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam kenyataan memaklumkan Shahidan akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.
Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen pembangkang dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata pelantikan Shahidan akan menjadi bukti perpaduan melalui bola sepak.
“Ini menunjukkan peranan sukan dan bola sepak khususnya merupakan wadah penyatuan iaitu orang yang berbeza fahaman politik seperti saya dan Shahidan boleh bersatu demi kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.
“Saya percaya menerusi peranan Shahidan sebagai Presiden KL City FC, kami boleh bersama-sama membawa kelab ke tahap kejayaan lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City Stanley Bernard berkata, kunci bagi pengukuhan kelab itu adalah dengan mengumpulkan semua pihak berkepentingan.
“Bayangkan sebuah kelab yang mendapat sokongan semua pihak berkepentingan yang sanggup mengetepikan perbezaan dengan matlamat membina pasukan yang kuat dan kompetitif di dalam serta luar padang.
“Menerusi peranan dan tanggungjawab yang jelas dimainkan oleh pihak berkepentingan yang terlibat, kami berhasrat untuk mewujudkan sebuah kelab bola sepak profesional yang mempunyai ramuan yang betul,” katanya sambil menambah Shahidan mampu memainkan peranan penting dalam mengembangkan dan mencorak sesuatu yang boleh dibanggakan warga Kuala Lumpur.
Shahidan adalah juga Presiden Renang Malaysia (MS) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). – BERNAMA