Kanabis untuk perubatan diputuskan sebelum akhir tahun

BANGKOK – Kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang mengakhiri lawatan kerja bilateral kesihatan ke Bangkok berkata, Thailand banyak berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang lawatannya itu berhubung penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan dan penanamannya.

“Saya yakin kita akan dapat kaji pengalaman Thailand untuk disesuaikan dengan konteks Malaysia nanti apabila kita bakal membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.

“Jika dibenarkan, kita akan menentukan dalam kerangka apa dan penggunaan apa yang akan dibenarkan.

“Saya mahu bergerak cepat… Saya yakin kita akan dapat mengambil pendirian pada tahun ini. Keputusan utama boleh atau tidak akan dibuat tahun ini dengan dasar itu mungkin dilaksanakan tahun depan. Itu sasaran saya,” katanya di sini, hari ini.

Lawatan itu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul untuk meneroka potensi penggunaan kanabis dalam bidang kesihatan.

Thailand adalah negara Asia Tenggara pertama membenarkan penggunaan kanabis dalam bidang perubatan.

Sepanjang lawatan kerjanya, Khairy dan delegasi turut melawat Government Pharmaceutical Organisation (GPO) dan mendengar taklimat mengenai dasar kanabis Thailand termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri kanabis, selain melawat Siam Cannabis Land di Pattaya dan diberi taklimat serta melawat rumah hijau dan ladang penanaman pelbagai jenis kanabis.

Khairy berkata, penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan bukan perkara baharu di Malaysia kerana pada 2014, Sativex yang mengandungi cannabidiolCBD) dan tetrahydrocannabinol (THC) pernah diluluskan penggunaannya di Malaysia untuk merawat kekejangan otot.

Bagaimanapun, produk itu tidak mendapat sambutan di pasaran tempatan, maka pendaftarannya dibatalkan.

“Undang-undang dan kerangka sedia ada membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Khairy berkata, penggunaan kanabis untuk perubatan semakin luas pada peringkat antarabangsa termasuk untuk penjagaan paliatif, pengurusan sakit kronik, insomnia dan pesakit yang jalani kemoterapi.

“Malaysia tidak mahu ketinggalan. Jadi, kita mahu lihat dan kaji keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, buat permulaan, Malaysia hanya melihat penggunaan produk kanabis untuk tujuan perubatan dan bukan penanamannya.

“Kalau terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan ia satu industri, kita akan mengkaji dari segi penanaman (kanabis). Kita akan ambil langkah demi langkah,” katanya.

Julai lalu, Khairy berkata, satu kerangka kerja berhubung pendaftaran produk CBD tertentu bakal diumum.

Sebelum itu, Khairy melawat hospital psikiatri pertama Thailand – Somdet Chaopraya Institute of Psychiatry dan beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental, Dr Amporn Benjaponpitak mengenai khidmat kesihatan mental di negara itu.

Ketika lawatan itu, beliau ditunjukkan pelbagai inovasi yang dapat membantu menambah baik kesihatan mental.

Sebelum pulang, Khairy juga menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi ke 12 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Kesihatan dan Ekonomi bertema “Open to Partnership. Connect with the World “Balance Health and the Economy” . – BERNAMA

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles