INTER Milan merekodkan kekalahan pertama musim ini apabila tewas 1-3 awal pagi tadi.
Gol lewat perlawanan pasangan Sepanyol, Luis Alberto dan Pedro Rodriguez membantu Lazio ke persada Serie A.
Situasi tersebut mengecewakan pengurus Inter, Simone Inzaghi yang masih belum memungut sebarang mata di gelanggang dia beraksi sebagai pemain lebih sedekad lalu dan dilatihnya sejak 2021.
Bekas penyerang Itali itu sekali lagi merasai kekalahan seperti tahun lalu kepada skuad bimbingan Maurizio Sarri, pengurus yang menggantikannya di Lazio.
“Ia kekalahan yang teruk,” kata Inzaghi kepada DAZN.
“Ia perlawanan yang seimbang. Kami melalui babak pertama yang bagus tetapi gol Luis Alberto menukar keseimbangan itu.”
Sarri membawa masuk Luis Alberto dan Pedro sebelum sejam perlawanan sejurus selepas pemain Inter, Lautaro Martinez menyamakan kedudukan berikutan gol pembukaan Felipe Anderson pada minit ke-40.
Luis Alberto mengembalikan kelebihan Lazio pada minit ke-75 menerusi sepakan menakjubkan sebelum Pedro melengkapkanya empat minit sebelum tamat.
“Kemenangan ini amat penting buat kami, ia laluan yang kami perlu ikut untuk terus mara,” kata Pedro.
Menerusi dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan, Lazio mengambil alih kedudukan teratas liga, satu mata di depan Inter yang menang dua perlawanan awal mereka. – AFP