fbpx

Hapus plaza tol, India beralih guna teknologi GNSS

NEW DELHI – Menteri Pengangkutan dan Lebuh Raya, Nitin Gadkari baru-baru ini, berkata, plaza tol akan dihapuskan secara berperingkat di rangkaian lebuh raya di negara itu.

Pihak Berkuasa Lebuh Raya Kebangsaan India (NHAI) juga menganjurkan bengkel perundingan yang disertai pihak berkepentingan selama sehari mengenai tol berasaskan Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) di India.

Objektif bengkel itu adalah mendapatkan idea dan pandangan daripada pelbagai pakar industri serta pihak berkepentingan mengenai pelbagai aspek sistem tol berasaskan GNSS.

Bengkel terbabit akan membantu menyusun strategi dan mereka bentuk peta jalan pada masa akan datang untuk sistem tol aliran bebas di India berdasarkan teknologi GNSS.

Pelbagai pihak berkepentingan terlibat termasuk jabatan kerajaan berkaitan, Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO), Pusat Informatik Kebangsaan (NIC) dan pemain industri seperti pengeluar kenderaan.

Menyertai mereka ialah pengeluar AIS-140 On-Board Unit (OBU), penyedia perkhidmatan Sistem Pengemudi Satelit Global (GNSS), bank, penyedia khidmat pembayaran atau pembekal perkhidmatan gerbang, dijemput untuk perbincangan mengenai sistem tol berasaskan GNSS.

Sesi dan pembentangan sudah diadakan dengan perunding serta pakar industri mengenai amalan terbaik global untuk tol berasaskan GNSS, selain perbincangan mengenai penemuan perintis yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Lebuh Raya Kebangsaan India (NHAI) di koridor Delhi-Mumbai.

Melalui sistem tol berasaskan teknologi GNSS yang dicadangkan, lebuh raya NHAI akan dilengkapi ‘geo-fence’ dan menerapkan ciri pusat tol secara maya.

Setiap kali kenderaan yang dipasang dengan GNSS OBU melalui pusat tol maya, maklumat mengenai jarak perjalanan akan dikira berdasarkan isyarat satelit dari teknologi ‘multi-constellation’ atau pelbagai buruj seperti NaVIC, GPS dan lain-lain.

Bayaran yang dikenakan pula dikira oleh sistem perisian GNSS pusat dan ditolak daripada akaun bank pengguna yang dipautkan ke OBU. – AGENSI

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles