ALOR GAJAH – Pasangan kekasih ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di daerah ini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, mayat pasangan itu yang masing-masing berusia 16 dan 20 tahun ditemui oleh orang awam di perkarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau pada jam 9.20 pagi.
Ketika ditemui, pasangan itu lengkap berpakaian di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan manakala leher mangsa perempuan terlentok di bahu kiri mangsa lelaki dalam kereta yang ditutup dengan kanvas.
Polis percaya kedua-dua mangsa adalah pasangan kekasih selain mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kuala Sungai Baru dan Lubok China itu meninggal dunia dipercayai terhidu gas karbon monoksida memandangkan pendingin hawa berada dalam keadaan terbuka serta kenderaan itu juga kehabisan minyak.
Turut ditemui dalam kenderaan, telefon bimbit mangsa dan botol minuman.
Sementara itu, remaja perempuan dikenali sebagai Damia, 16, yang menghantar sahabatnya berjumpa seorang lelaki petang semalam berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika mangsa meminta dihantar ke JAPERUN Ayer Limau.
Selepas menghantar mangsa ke lokasi berkenaan, beliau berasa tidak sedap hati sehinggalah dihubungi kakak sahabat baiknya itu kira-kira jam 8.30 pagi memaklumkan mangsa tidak pulang sejak semalam.
“Saya bergegas ke JEPERUN untuk mencarinya dan sebaik tiba saya dapati kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa dan lelaki berkenaan masih berada di lokasi, namun ditutup kain kanvas.
“Saya segera menyelak kain kanvas itu dan melihat kedua-dua mereka tidak sedarkan diri lalu menghubungi kakak mangsa,” katanya.