PETALING JAYA – Seorang remaja berusia 14 tahun tampil matang apabila sanggup memikul tanggungjawab sebagai wali pernikahan kakaknya bersama pasangan Ahad lalu.
Majlis akad nikah itu yang dikongsi pemilik akaun TikTok @Azzaasha yang juga merupakan ibu kepada dua beradik tersebut tular apabila remaja berkenaan turut sebak selepas melaksanakan kewajiban tersebut.
Ibu remaja berkenaan meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahan puteri sulungnya itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah selesai pernikahan anakanda sulung yang dinikahkan oleh adiknya,” katanya.
Rakaman selama seminit 24 saat tersebut turut mendapat perkongsian pengguna yang lain dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
“Hebat anak kakak, terbaik. Saya pula yang menangis lihat situasi seperti ini,” luah seorang pengguna.