SHAH ALAM – Pelakon terkenal yang juga penulis lirik tersohor, Bob Lokman, 58, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung, petang tadi.
Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman sejak seminggu lalu kesihatannya semakin merosot, namun arwah enggan mendapatkan rawatan di hospital walaupun sudah beberapa kali dipujuk.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Omar Hakim Mohd Hakim, 28, yang memberitahu arwah arwah sesak nafas bermula Maghrib semalam dan berterusan sehingga jam 11 pagi tadi.
“Saya dan mama (Relawati Daud) masing-masing bersengkang mata menjaganya,” katanya.
Omar Hakim bagaimanapun, hanya mengetahui kematian bapanya daripada mamanya pada pukul 2 petang tadi selepas tertidur akibat kepenatan.
Terdahulu, penulis lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan Search itu terpaksa bergantung nyawa dengan jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).
Bob sebelum ini turut perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan bagi memantau tahap kesihatannya dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital.
Jun lalu, Bob turut mendedahkan bateri jantungnya hanya berbaki 10 peratus dan boleh pergi menghadap Ilahi pada bila-bila masa.
Sebagai penulis lirik pula, Bob aktif menulis beberapa lagu hit popular dan menjadi siulan hingga ke hari ini seperti Intanku Kesepian, Taman Rashidah Utama, Isabella, Segalanya Ku Terima, Memburu Rindu, Kerana Cinta dan Rendang Tak Berbuah.
Lagu Isabella nyanyian kumpulan Search pernah diangkat sebagai pemenang utama pada Anugerah Juara Lagu terbitan TV3 pada tahun 1989.
Bob meninggalkan isteri, Relawati, 42, dan tujuh cahaya mata.
Sementara itu, jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan, dengan solat jenazah diadakan di Masjid Kampung Pulau Hilir.
Jenazah dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir di Kubang Kerian.