LOS ANGELES – Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat (AS), Coolio meninggal dunia pada usia 59 tahun, semalam.
Penyanyi rap yang terkenal dengan lagu Gangsta’s Paradise pada 1995 itu meninggal dunia dalam bilik air di rumah rakan lamanya, di sini, jam 5 petang.
Pemergian pemenang Anugerah Grammy itu disahkan pengurusnya, Jarel Pasey kepada agensi.
Portal TMZ melaporkan, Coolio atau nama sebenarnya, Artis Leon Ivey Jr ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air ketika mengunjungi rakan lamanya.
Pasey berkongsi, Coolio pergi ke rumah rakannya sebelum masuk bilik air untuk membuang air.
“Temannya itu memanggil namanya selepas dia berada terlalu lama dalam kamar mandi. Apabila pintu ditolak Coolio dalam posisi terbaring di atas lantai.
“Begitupun punca sebenar masih belum didedahkan, namun difahamkan kematian berkaitan dengan serangan jantung,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam (waktu tempatan), pasukan perubatan bergegas ke sebuah rumah di Los Angeles selepas mendapat panggilan kecemasan.
Ketika tiba, mereka terus membuat pemeriksaan, namun mendapati bintang rap elit itu sudah meninggal dunia.
Siasatan awal pihak polis tidak menjumpai barang terlarang, manakala bedah siasat akan dilakukan bagi mencari punca kematian Coolio.
Terdahulu, karyawan kelahiran Pennsylvania itu meraih Anugerah Grammy menerusi Gangsta’s Paradise yang juga runut bunyi untuk filem Dangerous Mind.
Coolio Beliau dinobatkan bagi Persembahan Solo Rap Terbaik pada Grammy 1996 yang ketika itu turut dicalonkan bagi kategori utama, Record of the Year.
Album berkenaan juga mendapat pengiktirafan ‘triple-platinum’ dari Recording Industry Association of America.