fbpx

Ejen kosmetik diculik di Kelantan berjaya diselamatkan di Thailand

KUALA LUMPUR – Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

Ejen jualan produk kosmetik wanita berusia 36 tahun itu berjaya diselamatkan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kedua-dua pihak berkuasa tersebut turut berkongsi maklumat dan perisikan hingga berjaya mengenal pasti lokasi mangsa di Thailand.

“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.

“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, pihaknya juga turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk melarikan mangsa dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“PDRM juga meminta kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Mangsa sebelum ini dilarikan pada jam 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles