KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan membina sebuah stadium canggih berkapasiti 10,000 penonton dinamakan Stadium AFC di Putrajaya.
Menurut makluman AFC dalam laman rasminya hari ini, stadium berkenaan bakal dibangunkan di tapak seluas 6.172 hektar, kira-kira 30 kilometer dari Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil, dan dilengkapi dengan grandstand, kawasan boulevard dan atrium untuk penonton, pejabat pentadbiran dan tempat letak kereta bawah tanah.
Keluasaan lantai stadium kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk 10,000 dan akan mempunyai padang bola sepak berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA.
Antara beberapa ciri lain lain, stadium tersebut juga menyediakan kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas media serta tarikan air pancut yang akan dibina di pintu masuk stadium.
AFC berkata dana untuk membangunkan stadium itu akan dijana daripada peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasakan bola sepak negara ahli persatuan (MA) dan persatuan serantau (RA).
Persatuan Bolaepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia pula bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek tersebut, kata AFC.
Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, yakin bahawa Stadium AFC baharu itu akan membuka lembaran baharu kepada MA dan RA untuk mencapai mutu bola sepak yang lebih tinggi dalam dekad akan datang.
“Ibu pejabat AFC di sini menjadi lokasi penting pembangunan melalui pelbagai latihan, kursus, bengkel dan seminar dalam bidang teknikal dan pengadilan dan kini dengan adanya Stadium AFC, kami mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi.
“Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya harus berterima kasih kepada FIFA atas kesediaan mereka untuk melakar era baharu kemajuan bersama AFC dan juga kerajaan Malaysia atas dedikasi terhadap pembangunan bola sepak di Asia, bukan sahaja melalui projek ini tetapi juga kerana sokongan yang telah diberikan sejak beberapa dekad,” kata Shaikh Salman.
Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-11 di Putrajaya semalam, berkata projek tersebut adalah pelaburan penting untuk bola sepak Asia.
“Ia adalah projek yang hebat dan saya sangat berbangga dan gembira kerana kami bekerjasama melalui stadium AFC dan FIFA ini yang melambangkan satu langkah baharu yang sangat penting bagi seluruh rantau Asia,” katanya. – Bernama