JAKARTA – Puluhan pengunjung festival muzik di Istora Senayan di sini semalam pengsan susulan pengunjung melebihi kapasiti sehingga berlaku kesesakan.
Insiden yang berlaku dalam Festival Berdendang Bergoyang itu mengakibatkan beberapa penonton memerlukan rawatan kecemasan kerana mengalami kecederaan termasuk luka melecet akibat bersesak dan berhimpit.
“Di kawasan acara terlalu ramai, sudah ramai yang pengsan tadi. Mangsanya mencapai puluhan orang.
“Festival Berdendang Bergoyang yang dianjurkan di Istora ini terpaksa kami hentikan kerana situasi khalayak yang melebihi kapasiti dan berbahaya,” kata Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Komarudin seperti dilapor portal Detikcom.
Berikutan itu, katanya festival itu diarah tutup pada jam 10 malam, lebih awal dari yang dijadualkan.
Perjalanan konsert untuk hari ketiga, hari ini juga dibatalkan oleh pihak polis. Notis pembatalan itu diumumkan pihak penganjur acara melalui Instagram.
Langkah itu diambil atas sebab-sebab keselamatan.
“Keputusan membatalkan acara ini kami terima secara langsung dari pihak yang berwajib. Kami juga berterima kasih kepada penonton yang sudah menonton di hari pertama dan kedua,” kata penganjur yang juga akan mengumumkan soal pengembalian wang tiket pada sebelah petang ini. – AGENSI