KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen ditahan kerana disyaki membawa enam lelaki warga India memasuki negara ini tanpa dokumen sah dalam sindiket menyeludup warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, dekat sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata enam lelaki India itu turut ditahan pada jam 7.45 malam.
Beliau berkata, semua warga asing berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun itu, cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas sah dan mengelakkan bayaran levi.
“Modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menawarkan e-visa palsu kepada mereka untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.
“Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka pelancong tulen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, pegawai imigresen berusia 31 tahun itu didapati bersubahat dalam sindiket itu dengan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing terbabit ke dalam sistem myIMMs.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak April lalu dengan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM,6000 kepada setiap pelawat.
“Semua warga asing itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah, manakala pegawai imigresen itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 selepas perintah reman diperoleh,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen akan terus meningkatkan usaha perisikan dan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pemerdagangan manusia.
“Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia membabitkan pegawai kami sendiri.
“Mereka yang didapati bersalah akan menerima hukuman sewajarnya mengikut undang-undang berkaitan,” katanya. – BERNAMA