NEW DELHI – Pelik tapi benar. Itulah yang berlaku kepada satu mayat lelaki yang mengembara sejauh 900 kilometer (km) merentasi utara India selepas terkunci dalam tandas kereta api.
Lelaki itu dipercayai menaiki kereta api beberapa hari sebelum ia berlepas dari negeri Bihar dan meninggal dunia dalam tandas selepas mengunci pintu.
Ekspres Saharsa-Amritsar Jan Sewa telah melakukan perjalanan selama hampir 24 jam dari titik permulaannya dengan keseluruhan perjalanan memakan masa selama 35 jam.
Pegawai polis kereta api Ram Sahay memberitahu AFP, mereka memecahkan pintu tandas itu Ahad lalu selepas penumpang mengadu tercium bau busuk.
Media India berkata, kereta api itu ditangguhkan hampir lima jam apabila pegawai cuba memeriksa identiti lelaki yang mati itu dengan pengembara lain sebelum perjalanan ke Amritsar disambung semula.
“Kami masih tidak tahu apa-apa mengenai lelaki itu,” kata Sahay, yang melakukan perjalanan ke Shahjahanpur di negeri Uttar Pradesh di mana penemuan mengerikan itu berlaku.
“Dia berkemungkinan memasuki kereta api ketika ia masih diletakkan di depoh dan meninggal dunia sendiri dua atau tiga hari sebelum mayat ditemui,” katanya.
Sanjay Rai, seorang doktor di hospital kereta api memberitahu The Times of India bahawa lelaki itu ‘meninggal dunia selepas dipercayai koma’.
Pihak berkuasa telah mengedarkan poster hilang lelaki itu di sekitar stesen kereta api di Bihar.
Terdapat puluhan ribu mayat tidak dituntut dan tidak dikenal pasti di India setiap tahun. – AFP