PROTON Holdings Bhd (PROTON) menjual keseluruhan 115,366 unit kenderaan bagi tempoh 10 bulan tahun ini iaitu rekod jualan terbaik sejak 2014.
Pencapaian itu melepasi rekod jualan setahun penuh 2021 iaitu 114,708 unit, menyaksikan jualan bagi tempoh Januari hingga Oktober melonjak 33.1 peratus.
PROTON dalam satu kenyataan menyatakan, sebanyak 13,013 unit (domestik & eksport) dijual pada Oktober melonjakkan jualan kepada 115,366 unit untuk 2022, mengatasi 114,708 unit yang dicapai sepanjang tahun 2021.
“Pencapaian ini bermakna jualan setakat tahun ini meningkat sebanyak 33.1 peratus untuk 10 bulan 2022 dan angka ini dijangka terus meningkat dalam dua bulan terakhir tahun ini,” demikian menurut PROTON.
PROTON menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran sebanyak 21.1 peratus bagi Oktober, manakala bagi tempoh 10 bulan pula merosot sedikit kepada 19.9 peratus.
Jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton hampir 50,000 unit manakala eksport pula cecah paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun.
“Tidak sampai empat tahun selepas melancarkan SUV pertama pada 12 Disember 2018, PROTON telah menguasai segmen ini dan muncul sebagai jenama SUV paling laris di Malaysia. Proton X50 sebagai peneraju jualan nasional bagi segmen ini apabila sejumlah 3,602 unit telah diserahkan pada Oktober dan jumlah jualan 33,193 unit (setakat Oktober).
“Proton X70 terjual sebanyak 1,391 unit pada bulan lalu dan jumlah keseluruhannya setakat Oktober adalah sebanyak 15,536 unit. Justeru, bagi tempoh 10 bulan, sejumlah 48,729 unit SUV Proton telah diserahkan kepada pelanggan,” jelas PROTON.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata pertumbuhan positif dalam jumlah jualan selama empat tahun berturut-turut PROTON bersamaan dengan kemasukan jenama itu ke pasaran SUV menerusi model Proton X70.
Katanya, ia adalah satu pencapaian yang membanggakan dan walaupun terdapat pelancaran baharu daripada jenama pesaing, namun Proton X70 kekal sebagai peneraju dalam kelasnya.
“Oleh itu, untuk meraikan ulang tahun yang keempat, kami menawarkan hadiah yang terdiri daripada aksesori bernilai RM1,499, kadar faedah serendah 2.52 peratus dan banyak lagi tawaran menarik daripada pengedar kami jika pelanggan membeli Proton X70 pada November,” katanya.
Bagaimanapun, Roslan berkata, model PROTON terlaris kekal dengan Proton Saga dengan 5,262 unit telah diserahkan pada Oktober, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini sebanyak 45,965 unit, meningkat 42 peratus berbanding tahun sebelumnya selain membuktikan model yang dikemas kini dan dilancarkan pada 12 Mei lalu lebih popular di kalangan pelanggan berbanding model sebelumnya.
“Sementara itu, Proton Persona dan Proton Iriz juga menunjukkan peningkatan jualan. Jualan Proton Persona sebanyak 1,697 unit pada bulan dikaji, meningkat 0.4 peratus berbanding tahun lalu, manakala sejumlah 661 unit Proton Iriz terjual bulan lalu.
“Proton Exora terus menerajui kelas kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C dengan 400 unit diserahkan pada Oktober menjadikan angka keseluruhan setakat tahun ini sebanyak 3,508 unit,” katanya.
Selain daripada kejayaan pasaran tempatan, beliau berkata, jumlah pertumbuhan jualan PROTON untuk tahun 2022 juga telah dirangsangkan oleh prestasi bahagian eksportnya.
“Sebanyak 416 unit dieksport di Oktober, menjadikan angka eksport setakat 10 bulan 2022 kepada 4,741 unit, prestasi terbaiknya sejak tahun 2013. Sama seperti jualan domestik, Proton Saga adalah model paling banyak dijual dengan 2,106 unit diikuti oleh Proton X70 dengan 1,608 unit setakat ini.
“Pertumbuhan bahagian eksport PROTON pada tahun 2022 adalah sejajar dengan hasrat kami untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara.
“Walaupun Malaysia tetap menjadi pasaran utama syarikat , jualan eksport memiliki lebih banyak potensi pertumbuhan yang belum diterokai dan ini bersesuaian dengan sasaran pertumbuhan jangka panjang kami untuk menjadi jenama automotif utama di rantau ini,” katanya.