PERTAHANAN Brazil, Gabriel Magalhaes membawa Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencetak gol pada minit ke-63 sekali gus memberikan Arsenal kemenangan 1-0 mengatasi Chelsea di Stamford Bridge hari ini.
Gabriel yang menanti di garisan gol, menyambung hantaran Bukayo Saka dari sepakan sudut yang melepasi pertahanan Chelsea.
Arsenal yang mempamerkan aksi penuh bertenaga memberi banyak tekanan kepada skuad tetangga London itu.
Bagaimanapun mereka gagal mengambil kelebihan apabila Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli dan Ben White masing-masing tidak berupaya menemui gawang berdepan skuad kendalian Graham Potter.
Cubaan terbaik Chelsea ialah menerusi serangan balas pantas tetapi gagal disudahkan Kai Havertz, Pierre-Emerick Aubameyang dan Raheem Sterling.
Selepas 13 perlawanan, Arsenal kini mengutip 34 mata meninggalkan Manchester City di tempat kedua dengan kelebihan dua mata. – REUTERS