SEOUL – Pasukan penyiasat khas menyerbu pejabat Ketua Polis Negara dan berpuluh-puluh pejabat lain, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung insiden rempuhan di Itaewon yang mengorbankan sekurang-kurang 156 nyawa pada 29 Oktober lalu.
Sebanyak 55 pejabat diserbu, termasuk pejabat Pesuruhjaya Agensi Polis Kebangsaan, Yoon Hee Keun, dan Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul (SMPA), Kim Kwang Ho, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lokasi lain meliputi pejabat pegawai kanan risikan dan pemantauan situasi SMPA, Balai Polis Yongsan, ketua pejabat Wad Yongsan Park Hee-young, Ibu Pejabat Bomba & Bencana Metropolitan Seoul dan Balai Bomba Yongsan.
Ibu pejabat Seoul Metro dan Stesen Kereta Api Bawah Tanah Itaewon turut digeledah.
Pihak polis dan bomba serta pejabat Wad Yongsan dikecam hebat susulan pendedahan mendakwa terdapat tanda amaran sebelum tragedi itu berlaku tetapi mereka gagal bertindak balas tepat pada masanya.
Bekas Ketua Balai Polis Yongsan, Lee Im Jae; ketua pejabat Wad Yongsan, Park Hee Young; dan dua lagi pegawai kanan polis serta bomba akan disoal siasat atas tuduhan kecuaian profesional sehingga mengakibatkan kematian orang ramai. – Bernama