fbpx

LRT tergendala, pakar dari Istambul, Turkiye, Kanada tiba esok

KLUANG – Kerajaan hari ini memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak semalam, susulan kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun syarikat pengendali LRT iaitu Prasarana Malaysia Bhd merupakan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan yang diperbadankan, tetapi sebagai sebahagian daripada kerajaan, beliau tetap perlu bertanggungjawab.

“Selaku menteri, ini adalah isu berhubung pengoperasian yang memerlukan saya mendengar pandangan dan dapatan daripada pihak Prasarana.

“Saya minta Prasarana untuk maklumkan kepada masyarakat sekurang-kurangnya tiga jam sekali berkenaan maklumat terkini gangguan LRT tersebut supaya mereka (pengguna) tahu keadaan semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Dewan Terbuka Taman Suria Ros, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata selain bantuan daripada pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dijangka tiba esok, pakar dari Istanbul, Turkiye dan Toronto, Kanada, juga akan diterbangkan bagi mencari punca utama kegagalan ATC.

“Dalam masa sehari atau dua ini, mereka (pakar) perlu mencari punca kerana ia melibatkan masalah teknikal dan mungkin juga perlu melihat aspek yang lain,” kata beliau.

Ka Siong juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Isham Ishak, Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) dan juga Prasarana untuk mencari satu formula dan penyelesaian yang terbaik terhadap masalah itu.

“Sudah sampai masanya untuk Prasarana melihat kepada penjadualan untuk kerja penyelenggaraan secara berkala dan mereka perlu mengubah kepada sistem yang lebih dinamik dan mengutamakan keselamatan,” kata beliau.

Semalam, operator LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lalu.

Perkhidmatan LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi tadi selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Bagaimanapun perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights. – Bernama

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles