PENYANYI Zamani Ibrahim, 51, dilaporkan sudah sedar selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, jam 3.05 petang semalam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Syair Si Pari-Pari itu masih dalam pemantauan doktor dan memerlukan rehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.
Isterinya, Nur Juliana Abdul Rani, 39, berkata, suaminya sudah sedar dan kini dalam proses untuk dipindahkan ke wad biasa.
“Berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia.
“Suami sudah sedar dan berada di bawah pemantauan doktor,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia mohon kerjasama agar memberi ruang kepada suami memandangkan masih berada dalam keadaan lemah dan perlu banyak berehat.
“Seperti diketahui, ini adalah pembedahan besar, jadi mengambil masa untuk pulih. Atas nasihat doktor, suami perlu banyak berehat agar proses pemulihannya berjalan lancar,” katanya.
Katanya, dia tidak dapat menerima kehadiran pelawat dan berharap semua dapat memahami keadaan Zamani.