SHAH ALAM – Paras air empat sungai di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Selangor dan Kelantan diletakkan dalam kategori bahaya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Pahang di Lipis, Pahang mencatatkan paras air setinggi 98.77 meter, manakala Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka, mencatatkan paras air setinggi 2.24 meter, melebihi 0.24 meter daripada paras bahaya.
Di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang mencatatkan paras air setinggi 4.53 meter melebihi paras bahaya 4.2 meter.
JPS turut mengeluarkan amaran bahaya di dua kawasan di Miri, Sarawak iaitu di Sungai Tinjar yang mencatatkan paras air setinggi 8.17 meter melebihi paras bahaya 8 meter manakala Batang Baram mencatatkan paras air 3.63 meter melebihi paras bahaya 3.25 meter.
Sementara itu, JPS negeri Selangor melaporkan paras air sungai dua daerah di Selangor masih melebihi paras normal walaupun kesemua kawasan pemantauan banjir menunjukkan trend paras air menurun.
Laman web JPS Selangor menunjukkan tiada hujan di rekodkan di Rantau Panjang dan Parit mahang di Kuala Selangor serta Bukit Changgang di Kuala Langat.
Walau bagaimanapun paras air Sungai Selangor dan Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor berada di paras amaran manakala di Kuala Langat, paras air masih berada di paras bahaya iaitu setinggi 4.5 meter.
JPS Selangor turut mengeluarkan amaran di Taman Sentosa, Klang bermula pagi tadi.
Semakan situasi di Pantai Timur menunjukkan, lembangan sungai sungai Kelantan dan Sungai Golok menunjukkan trend menurun dengan kedudukan paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih dalam paras bahaya.
Menurut laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), keadaan banjir semasa adalah terkawal di jajahan Pasir Mas.