fbpx

Piala Dunia: Arab Saudi cipta kejutan terbesar, Raja Salman umum cuti

ARAB Saudi melakar kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia menundukkan juara dua kali, Argentina 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Lusail, malam tadi.

Menghuni ranking ke-51 dunia, Arab Saudi tampak bakal menjadi pasukan belasahan selepas Lionel Messi membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti.

Arab Saudi bangkit selepas rehat dalam tempoh 10 minit menerusi jaringan penyamaan Saleh Al-Shehri sebelum Salem All Dawsari meledak gol kemenangan.

Anak buah Lionel Scaloni hadir di Qatar sebagai antara pasukan pilihan dengan rekod tanpa kalah dalam 36 perlawanan termasuklah menjuarai Copa America 2021.

Jurulatih Arab Saudi, Herve Renard mengingatkan anak buahnya hanya boleh bergembira selama 20 minit kerana masih ada dua lagi perlawanan perlu diharungi.

“Apabila beraksi di Piala Dunia, anda perlu percaya pada diri sendiri kerana apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak.

“Inilah bola sepak di mana kadang-kadang perkara gila boleh terjadi,” katanya yang sebelum ini pernah membawa Zambia dan Ivory Coast menjadi juara Afrika.

Dalam pada itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengumumkan cuti umum selepas pasukan bola sepak negara itu berjaya mengejutkan Argentina.

“Esok, Rabu adalah cuti umum untuk semua pekerja di sektor awam dan swasta.

“Begitu juga pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di semua peringkat,” lapor Al-Ekhbariya berhubung arahan Raja Salman.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles