fbpx

Wanita pukul kucing hingga mati dipenjara 6 bulan

PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga pisang goreng, Hotimah, 60, selepas tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah kedai tidak bernombor di Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini pada 7.46 pagi 20 Ogos lalu.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Hotimah menangis dan jatuh terduduk di atas bangku dalam kandang tertuduh selepas mendengar hukuman itu.

Mahkamah memerintahkan Hotimah menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Pegawai Pendakwa, Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana tindakan itu disifatkan sangat kejam.

“Dalam kes ini, OKS (orang kena saman) telah memukul kucing itu sehingga mati dan ia makhluk tuhan yang tidak mampu berkata-kata.

“Kucing itu juga tidak mengganggu atau merosakkan harta benda OKS selain perbuatan memukul kucing ini adalah kesalahan serius dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Hotimah, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan menghidap penyakit jantung.

“Saya mengaku melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf tuan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Hotimah yang ketika itu menjalankan kerja pembersihan di sebuah kedai, memukul kucing yang duduk di atas kerusi di premis terbabit sehingga batang penyapu patah.

Siasatan mendapati OKS memukul haiwan itu sehingga mati dan terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu. – Bernama

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles