PENYERANG, Breel Embolo menjadi wira Switzerland selepas meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Cameroon pada aksi pertama Kumpulan G di Stadium Al Janoub sebentar tadi.
Biarpun bertemu negara kelahirannya, namun penyerang AS Monaco itu tetap bersikap profesional dengan memberikan prestasi terbaik sehingga berjaya meledak satu gol buat Switzerland.
Embolo dilahirkan di Yaounde, Cameroon pada tanggal 14 Februari 1997 tetapi mengikut keluarganya berhijrah ke Perancis sebelum memilih untuk menyarung jersi Switzerland di peringkat antarabangsa.
Satu gol itu sudah cukup buat skuad bimbingan Murat Yakin itu mengutip tiga mata untuk memulakan kempen Piala Dunia 2022 dengan langkah kanan.
Gol tersebut hadir menerusi gerakan Granit Xhaka kepada Xherdan Shaqiri yang tidak dikawal sebelum membuat hantaran silang yang disudahkan dengan baik oleh Embolo pada minit ke-48.
Kemenangan itu pastinya memberikan keyakinan tambahan buat para pemain Switzerland sebelum berdepan juara dunia lima kali, Brazil untuk aksi kedua di Stadium 974, Doha pada 29 November ini.