fbpx

Piala Dunia: Argentina, Belanda gah ke suku akhir

ARGENTINA dan Belanda menepati ramalan mara ke suku akhir saingan Piala Dunia 2022.

Skuad kendalian Lionel Scaloni menewaskan Australia 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Ahmed bin Ali manakala Belanda menundukkan Amerika Syarikat (AS) 3-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa malam tadi.

Pada aksi tersebut, skuad La Albiceleste membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai oleh Lionel Messi, Papu Gomez dan Julian Alvarez.

Wakil Amerika Selatan itu tidak mempunyai masalah untuk mendahului saingan menerusi ledakan gol pada minit ke-35 hasil jaringan Messi selepas menerima hantaran Otamendi.

Alvarez menjaringkan gol kedua selepas bijak memperdayakan benteng pertahanan Australia sekali gus menewaskan penjaga gol, Matt Ryan pada minit ke-52.

Australia mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan sendiri Enzo Fernandez dengan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Argentina dijadualkan bertemu dengan Belanda pada saingan suku akhir minggu depan. 

Belanda menewaskan AS 3-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa malam tadi.

Sementara itu, Belanda menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir sekali gus menebus kekecewaan dialami skuad kendalian Louis Van Gaal selepas mereka tidak layak beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Penyerang Oranje, Memphis Depay meletakkan pasukan itu 1-0 di depan apabila menyepak masuk hantaran Denzel Dumfries selepas gerakan menarik dilakukan Belanda bermula dari bahagian bawah.

Lebih manis, jaringan tersebut turut menyaksikan pemain Barcelona itu meletakkan dirinya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman buat Belanda dengan 43 gol, tujuh gol di belakang legenda, Robin Van Persie.

Ketika aksi separuh masa pertama hampir ke penghujung, bek kiri Belanda, Daley Blind kembali menggamatkan stadium apabila menjadikan perlawanan 2-0 selepas menyambar hantaran dilakukan Dumfries.

Pada minit ke-76, AS akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-1 selepas pemain gantian, Haji Wright menyentuh hantaran Pulisic sebelum bola melantun masuk ke dalam gol Belanda.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Dumfries menjaringkan gol ketiga Belanda lima minit kemudian, sekali gus melengkapkan malam gemilang buat dirinya selepas dia turut melakukan dua umpanan pada perlawanan tersebut.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles