LOS ANGELES – Pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah apabila menjadi pelakon Malaysia pertama dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (Muzikal/Komedi), Anugerah Golden Globe ke-80.
Michelle, 60, memenangi trofi itu bagi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Michelle menewaskan pesaing iaitu iaitu Lesley Manville yang membintangi Mrs. Harris Goes To Paris; Anya Taylor-Joy (The Menu); Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).
Ketika menerima trofi, pelakon berasal dari Ipoh, Perak itu berkongsi pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni yang disifatkan sebagai perjalanan menakjubkan.
“Saya teringat kalau pertama menjejakkan kaki di Hollywood, ia seperti mimpi jadi nyata sehinggalah saya berdiri di sini (di pentas Anugerah Golden Globe).
“Ketika itu, saya diberitahu anda adalah minoriti. Namun, saya fikir, tak mungkin begitu. Kemudian seseorang beritahu saya, kamu perlu bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Pada saat itu, maafkan mereka kerana tidak tahu (asal usul Yeo) sama ada Korea, Jepun, Malaysia, Asia dan India.
“Saya kemudian jawab, iya, penerbangan ke sini mengambil masa 13 jam dan saya belajar bahasa Inggeris sepanjang perjalanan,” katanya berseloroh sambil disambut hilai tawa jemputan pada acara anugerah yang disiarkan secara langsung itu.
Beliau meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 tahun lalu, mengaku apabila usia meningkat, peluang untuk ditawarkan dalam filem makin berkurangan.
Namun, Yeoh berpuas hati kerana sebelum ini, beliau banyak menghasilkan naskhah hebat garapan sutradara berkaliber seperti Steven Spielberg, James Cameron dan Danny Boyle.