Penungang motosikal berkuasa besar maut langgar pacuan empat roda

LIPIS – Seorang mekanik maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum motosikalnya hangus terbakar di Kilometer (KM) 5, Jalan Lipis menghala ke Merapoh, hari ini.

Kejadian kira kira jam 11.40 pagi, Azman Zakaria, 43, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis BMW R 1200 RT berasal dari Kampung Berhamah, Merapoh, melambung selepas bertembung dengan 4×4 itu sebelum terjatuh ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata motosikal mangsa bertembung kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang guru dari Tanah Merah, Kelantan, yang hanya mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu.

Keadaan motosikal berkuasa besar yang masih terbakar manakala pacuan empat roda remuk di bahagian depan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Mitsubishi Triton dari arah Kelantan hendak ke Kuala Lumpur, dipercayai pecah tayar belakang kanan serta tayar depan kiri sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan lalu bertembung motosikal ditunggang mangsa,” katanya.

Azli berkata, perlanggaran itu menyebabkan Mitsubishi Triton terbabit berpusing dan motosikal berkenaan terbabas ke kanan jalan, manakala penunggangnya melambung sebelum terjatuh ke bahu jalan.

Akibatnya, beliau berkata, motosikal itu remuk di bahagian depan dan terbakar, sementara Mitsubishi Triton antara lain pecah bampar depan, fender depan kiri kemek, lampu depan kiri pecah dan bonet depan kemek.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit cedera dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

“Namun, kira-kira jam 1 tengah hari tadi, pihak hospital memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala pemandu Mitsubishi Triton pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles