BUCHAREST – Barangan termasuk kereta mewah dan wang bernilai 18 juta lei (AS$3.95 juta) milik personaliti Internet, Andrew Tate dirampas pihak berkuasa.
Kelmarin, pemberita Reuters melihat beberapa kereta termasuk sebuah Rolls-Royce, BMW dan Mercedes-Benz, diambil daripada pekarangan premis Tate di pinggir ibu kota, Bucharest, untuk dibawa ke sebuah lokasi penyimpanan.
Tate bersama abangnya dan dua suspek wanita Romania ditahan pada 29 Disember lalu atas dakwaan pemerdagangan manusia dengan mengeksploitasi enam wanita secara seksual. Bagaimanapun, mereka menafikan terbabit sebarang salah laku.
Mereka turut mencabar waran penahanan selama 30 hari ke atas diri masing-masing, namun Mahkamah Rayuan di Bucharest menolaknya dan memutuskan kesemua suspek itu perlu terus berada dalam tahanan polis.
Tate yang juga bekas peserta rancangan realiti United Kingdom (UK), Big Brother, tidak asing lagi dengan kenyataannya yang didakwa misoginis (benci pada orang perempuan) serta ucapan dikatakan berbaur kebencian.
Beliau yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) serta Britian, pernah dilaporkan mendakwa wanita bertanggungjawab sebahagiannya apabila dirogol dan mereka adalah milik lelaki. – REUTERS