CALIFORNIA – Sebuah rumah mewah yang digelar ‘rumah halimunan’ ditawarkan untuk dijual pada harga £14 juta (RM74.2 juta), lapor akhbar The Sun.
Rumah yang berkeluasan 510 meter persegi itu dilengkapi susunan cermin di bahagian luar yang memantulkan pemandangan gurun di kawasan tersebut.
Kediaman itu terkenal dalam kalangan selebriti termasuk penyanyi Demi Lovato dan deejay AS, Diplo yang pernah tinggal di sana.
Ia juga pernah dipaparkan dalam rancangan di Netflix, The World’s Most Amazing Vacation Rentals.
Pemiliknya, Chris dan Roberta Hanley berkata, rumah yang terletak di gurun Joshua Tree, California Selatan itu sebahagiannya diilhamkan oleh filem sains fiksyen bertajuk ‘2001: A Space Odyssey’.
Di antara bilik tidur utama dan dua bilik tidur lain, terdapat ruang tamu terbuka yang besar yang menempatkan sebuah kolam renang sepanjang 30 meter. – Agensi