AKSI Liga Malaysia (Liga M) 2023 akan berlangsung seawal jam 4.30 petang, umum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, perubahan waktu sepak mula itu memberikan dinamik baharu dan peluang lebih besar untuk diterokai pasukan yang bertanding.
“MFL mengkaji pengenalan sepak mula yang lebih awal dengan mengambil kira waktu Maghrib yang lebih awal terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Bagi aksi hujung minggu, ada perubahan sepak mula di mana waktu 4.30 petang dan 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak manakala 5.15 petang atau 5.30 petang bagi Semenanjung Malaysia.
“Aksi sebelah malam pula pada hari bekerja pula membabitkan jam 7.30 petang dan 8.15 bagi Sabah dan Sarawak sementara 8.15 malam dan 9 malam untuk Semenanjung Malaysia,” kata Stuart pada taklimat Liga M 2023 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Mengulas lanjut perubahan sepak mula itu, Stuart mengharapkan semua pasukan dan penyokong dapat melihat tindakan itu dari segi positif selaras dengan penstrukturan liga lebih profesional.