KUALA LUMPUR – Kenaikan kos umrah ketika ini turut disebabkan permintaan tinggi untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
Ahli Exco Hal Ehwal Antarabangsa Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat, berkata kenaikan pakej umrah bukan hanya disebabkan harga hotel yang tinggi terutama di Tanah Suci, malah apabila sempadan dibuka bilangan rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah naik berlipat kali ganda.
“Memang ada beberapa penyedia hotel di sana menaikkan harga penginapan tetapi ia bermusim, jadi apabila permintaan tinggi sudah pasti harga juga naik dan ini normal dalam perniagaan. Ia berlaku di mana-mana saja bukan hanya di Malaysia.
“Sama juga ketika musim haji, Tabung Haji akan memajak bangunan di sana terlebih dahulu untuk mendapatkan harga berpatutan dan sama juga pada musim Piala Dunia, tiket penerbangan, hotel semua akan naik kerana permintaan yang tinggi,” katanya hari ini.
Menurutnya, orang ramai mempunyai pilihan untuk mengerjakan umrah dan boleh memilih ketika permintaan mengerjakan umrah kurang yang pastinya harga pakej juga akan turut turun.
Bagaimanapun, katanya, MATTA akan terus memantau dan menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan penjualan pakej umrah kekal berpatutan.
Sementara itu, Bendahari MATTA, Nigel Wong berkata, pelanggan juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkaitan jika terdapat sebarang isu berkaitan pakej umrah ketika ini.
“Pelanggan mempunyai kuasa untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati pakej umrah ketika ini mahal dan tidak adil,” katanya.