SHAH ALAM – Dua cedera daripada 25 murid dalam kejadian jeti runtuh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah pagi tadi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian pada jam 6.45 pagi itu turut membabitkan kanak-kanak Tabika Kemas dan dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag.
Kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan guru-guru bertindak segera dan berusaha menyelamatkan mangsa-mangsa daripada lemas selepas terjatuh ke dalam laut.
“Laporan awal diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden itu berlaku ketika murid terbabit sedang menaiki jeti di kampung berkenaan untuk ke sekolah.
“Akibat runtuhan itu, dua murid cedera ringan, manakala mangsa lain dilaporkan selamat,” katanya.
Susulan itu, menurut kenyataan berkenaan lagi, KPM akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah.
KPM berkata, bantuan segera juga diberikan kepada semua mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya melalui PPD Semporna juga mengambil langkah menyiasat punca kejadian berkenaan.
“KPM memandang serius insiden itu dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan serta keadaan struktur jeti selamat digunakan.
“Selain itu, KPM akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.