PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 120 cedera dalam letupan bom di sebuah masjid di ibu pejabat polis di Pakistan hari ini, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.
Ketika kejadian ramai anggota dan pegawai polis bersolat di masjid berkenaan dan jumlah mangsa dijangka meningkat.
“Saya berada di sini, di tempat kejadian dan kerja menyelamat sedang dijalankan,” kata timbalan pesuruhjaya bandar Peshawar, Shafiullah Khan.
“Lebih banyak mayat sedang dibawa keluar. Pada masa ini keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan orang yang tertimbus di bawah serpihan.”
Pegawai polis tempatan, Zafar Khan berkata anggota penyelamat sedang berusaha membawa mangsa yang cedera ke hospital berdekatan dan mendakwa insiden itu seperti pengeboman berani mati, namun sehingga kini siasatan lanjut sedang dilakukan.
Khan berkata, terdapat juga mangsa yang sedang kritikal dan sudah dibawa untuk rawatan di hospital dan berkemungkinan jumlah kematian akan meningkat. – Agensi