KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap bagi membantu golongan B40, veteran, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas pada harga RM69 sebulan.
Inisiatif itu yang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan menurunkan kos sara hidup rakyat, menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had pada harga hanya RM69 sebulan.
“Pakej ini akan mula ditawarkan pada Mac 2023 dengan kontrak langganan 24 bulan. Harga pakej ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi sama, iaitu sekitar RM89. Ini bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan RM480 sepanjang tempoh kontrak.
“Pakej ini adalah dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap, iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malah petunjuk bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.