KAJANG – Penyanyi Sissy Imann mengakui menyesal terlampau mengikut emosi sehingga mengambil keputusan menjual album sulung hanya pada harga RM20, sedangkan kos pembikinan buah tangan yang dirakamkan di Abbey Road Studios, London itu hampir mencecah puluhan ribu ringgit.
Katanya, pujukan rakan rapat yang mengetahui kepayahan merealisasikan impian selain melihat pengorbanan ibu bapa menjentik hatinya untuk menerima cadangan melancarkan naskhah tersebut selepas membatalkan hasrat itu gara-gara insiden di program Famili Duo.
“Sebenarnya pagi selepas hari kejadian saya keluar bilik untuk minum dan ternampak album ini di depan televisyen. Terus saya ambil dan campak ke lantai tetapi saya kutip semula sebelum masuk bilik.
“Waktu itu terus saya nekad umumkan jual RM20 menerusi hebahan dalam Instagram tanpa berbincang dahulu dengan ayahanda (bapa) serta bonda (ibu). Sedangkan dengan restu mereka saya dapat ke London merealisasikan album ini.
“Memang saya ikut emosi, namun kehadiran kawan yang memberi kata semangat dan mengingatkan semula perjalanan saya ke arah impian ini seakan ‘wake-up call’ untuk saya berdiri kembali.
“Menyesal (ikut emosi). Kalau dihitung balik jumlah caj pos terutama ke Singapura juga berkali ganda daripada harga album. Apa pun ini semua pengajaran,” katanya kepada sumber (Kosmo! Online) ketika ditemui pada majlis pelancaran album yang diadakan di kediaman keluarganya di sini, semalam.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun itu, dorongan teman karib yang ingin dia berkongsi perasaan bangga dapat menunaikan impian sekali gus menjadi penyanyi wanita tempatan pertama merakamkan lagu di studio ikonik tersebut akhirnya dituruti.
Akui Sissy lagi, walaupun majlis pra-dengar album dengan enam seleksi berkonsepkan karnival itu hanya diadakan di rumah, sudah cukup menggembirakan sebaik melihat keterujaan pada wajah ibu bapanya.
Malah dia juga menangkis dakwaan tangisan pada minggu keenam pertandingan yang menyaksikan gandingan bersama teman regu merangkap sepupunya, Naim Daniel sebagai gimik pra-pelancaran album.
Dedah Sissy lagi, andai situasi tersebut dijadikan batu loncatan bagi meraih simpati ramai sudah tentu bukan RM20 sebagai sandaran untuk harga jualan membabitkan sebanyak 1,000 unit album tersebut.
“Kalau nak untung, baik saya letak harga RM150 sekeping atau lebih tetapi dengan harga RM20 memang tak lepas pun caj pengeposan macam yang saya cakap tadi.
“Malah pada awalnya kami cuma buat 500 unit album fizikal tetapi disebabkan ketika itu tempahan sudah cecah 800 keping, kami sepakat tambah lagi 500 salinan namun tetap dijual pada kadar RM20,” katanya.
Mahu terus bangkit, di bawah syarikat yang diuruskan ayahnya, Mohammad Kamil Moustaffa, mereka kembali kepada rancangan asal mengedarkan barangan premium berupa mug, baju T-shirt dan sebagainya.
“Alhamdulillah, terima kasih dengan sokongan yang diberi. Insya-Allah perancangan yang dibuat sebelum ini akan diteruskan dan kami juga ada berbincang mahu buat koleksi box set.
“Tengok macam mana dulu, cuma buat masa ini kita juga akan tambah lagi 1,000 unit album fizikal ini selain jual menerusi platform sedia ada.
“Sebenarnya tak balik modal pun kalau jual pada harga baharu, lebih kepada kepuasan dan penghargaan buat penyokong setia,” tambahnya yang menganggap setiap kejadian mempunyai hikmah tersendiri.
Mengenai album yang menyajikan hasil ciptaan sendiri dan dirakamkan tahun lalu, enam lagu dimuatkan termasuk sebuah karya berbahasa Inggeris berjudul Ain’t Gonna Spoil My Day.
Seleksi lain dalam buah tangan yang bakal dijual pada kadar RM50 untuk kumpulan kedua nanti adalah Ribut, Balang Boneka, Berhentilah, Cinta Seadanya dan Tersakiti. – Sumber KOSMO! ONLINE