KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (MASAT) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkenaan pelajar Malaysia yang terkesan akibat gempa bumi, yang menggegarkan selatan Tukiye, pagi tadi.
Presidennya, Adib Azman, ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp berkata, persatuan berkenaan membuat hebahan dan menghubungi pelajar di kawasan terkesan, termasuk di Gaziantep, bandar terdekat dengan pusat gempa.
Pelajar tahun tiga di Istanbul University itu mengesahkan, dua pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Gaziantep dalam keadaan selamat.
“Kami juga ada membuat semakan dengan pelajar tahfiz warga Malaysia di sana dan dilaporkan ada asrama mereka yang ranap disebabkan gempa bumi. Ada rakan mereka dari negara lain yang terkorban dalam bencana itu.
“Namun, Alhamdulillah, setakat ini, tiada pelajar tahfiz Malaysia yang terkesan dan dilaporkan mereka berlindung di masjid buat sementara waktu,” katanya.
Adib yang menuntut dalam jurusan Pengajian Islam (Uluslararası Ilahiyat) berkata, terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Turkiye, ketika ini, dengan 168 daripadanya adalah pelajar universiti yang berdaftar dengan persatuan itu, manakala selebihnya pelajar tahfiz atau sekolah tinggi.
Beliau berkata, bagi pelajar tahfiz dan sekolah tinggi itu, Kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul juga menerima makluman keberadaan pelajar terbabit dan mereka diberikan nombor pelajar Malaysia di sana jika memerlukan sebarang bantuan.
Menceritakan situasi ketika gempa berlaku, Adib berkata, beliau yang berada Istanbul hanya merasai gegaran kecil.
“Saya berada di Turkiye buat tahun ketiga dan hanya dua kali sahaja saya merasai pengalaman gempa bumi. Istanbul jarang sekali ada gempa bumi yang agak serius dan biasanya hanya berlaku gegaran kecil.
“Ada sekali gempa bumi di kawasan yang jarak perjalanannya dua jam dari Istanbul dan kami dapat rasa gegaran di sini. Ketika itu, jam 3 pagi dan saya terjaga, katil dan almari bergoyang dalam satu minit,” katanya.
Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul, Mohd Khaidir Zainoddin, berkata beliau hanya merasai gegaran kecil akibat gempa itu.
Pekerja sambilan syarikat televisyen tempatan itu bersyukur tidak terbabit dalam bencana itu, namun berkata, masih belum dapat menghubungi rakannya yang berada di kawasan terjejas.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye awal pagi tadi, berhampiran bandar Gaziantep meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria. – Bernama