KUALA LUMPUR – Enam maut selepas van persiaran yang dinaiki terbabas ketika menuruni laluan Genting Highlands-Kuala Lumpur di Kilometer 4.8 di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang menerima laporan pada jam 1.15 tengah hari menyatakan, seramai 15 individu menaiki van berkenaan.
Mangsa yang maut terdiri seorang lelaki (pemandu) dan lima penumpang wanita warga tempatan manakala sembilan lain cedera.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamatan.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki.
Mereka yang menaiki van dikatakan kumpulan pelancong dari Pulau Pinang dan selesai mengunjungi Genting Highlands.
Lapan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lumpur.