RIYADH – Cristiano Ronaldo menjaringkan empat gol apabila Al Nassr membelasah Al Wehda 4-0 sekali gus melepasi angka 500 bagi gol liga sepanjang karier kelabnya.
Bintang Portugal berusia 38 tahun itu kini merekodkan 503 gol untuk lima kelab berbeza dalam lima liga berlainan.
Dia menjaringkan tiga gol untuk Sporting Lisbon, 103 untuk Manchester United, 311 bersama Real Madrid dan 81 di Juventus.
Ronaldo kini mengumpul lima gol untuk Al Nassr.
Dalam aksi Liga Pro Saudi itu, Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-21 dengan rembatan kaki kirinya, dan menjadikan kedudukan 2-0 dengan kaki kanannya.
Dia melengkapkan hatrik di awal babak kedua menerusi sepakan penalti. Ia adalah hatrik ke-61 dalam kariernya. Gol keempat Ronaldo hadir pada minit ke-61.
Ronaldo membuka jaringannya untuk Al Nassr pada Jumaat lalu menerusi sepakan penalti masa kecederaan ketika seri 2-2 menentang Al Fateh. – AFP