GOMBAK – Seorang lelaki selamat manakala rakannya dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Pisang di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.57 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi yang tiba pada jam 7.30 malam.
“Kejadian melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai mandi di lokasi kejadian ketika hujan lebat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ketika tiba di lokasi, mangsa masih terkandas di seberang sungai setelah berpaut pada tebing sebelum berjaya diselamatkan pada jam 8.30 malam.
“Bagaimanapun, seorang rakan mangsa berumur 25 tahun dipercayai telah dihanyutkan arus deras.
“Usaha mencari mangsa berkenaan masih dijalankan,” katanya.