KUCHING: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan hilang ketika bermain berhampiran Kuari Batu Perigi, Sematan dalam daerah Lundu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu pada jam 4.05 petang.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat itu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kali terakhir mangsa dilihat bermain di luar pondok di belakang rumah kongsi kuari itu.
“Ketika kejadian, kanak-kanak itu mengikut ibunya yang sedang menunggu bapanya pulang dari kerja, di Kuari Batu Perigi,” katanya.
Menurutnya, menyedari kanak-kanak itu hilang, ibu serta bapanya dengan bantuan beberapa pekerja berusaha mencarinya di sekitar kawasan kuari itu.
Selepas gagal mencari mangsa, laporan polis dibuat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan oleh anggota BBP Lundu dengan kerjasama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pekerja kuari.
“Operasi SAR dilakukan di sekitar belakang rumah kongsi serta kawasan kuari dalam radius dalam satu kilometer sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit.
“Bagaimanapun, sehingga jam 5.50 petang, mangsa masih gagal dikesan dan operasi SAR ditangguhkan,” katanya. – BH Online