BANGKOK – Seorang wanita di Chiang Mai, Thailand, nekad mengupah orang untuk membunuh suaminya yang dikatakan suka mendera.
Dia sanggup mengupah Joma Ae iaitu petani miskin dari Myanmar dengan kadar upah 400 baht (kira-kira RM52).
Menyedari wang ditawarkan tidak cukup, Kanda sanggup meyakinkan lelaki itu membunuh suaminya dengan menawarkan anak perempuannya sebagai ‘ganjaran’.
Ia bermakna Joma Ae dapat berkahwin dengan anak perempuan Kanda, jika misi tersebut dapat disempurnakan.
Menurut portal The Thaiger, Kanda Cheewasawat, 46, dari perkampungan Khun Yuam melakukannya kerana mendakwa sudah tidak sanggup menjadi penderaan suaminya.
Mangsa, Phetchaburapa Meesri dikatakan ‘kaki mabuk’ sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka.
Media tempatan Thailand melaporkan mayat Phetchaburapa ditemukan jauh di dalam hutan di wilayah Mae Hong Son.
Jasad itu ditemukan dalam keadaan hampir tidak dapat dikenali.
Difahamkan, Phetchaburapa yang berusia 54 tahun dipukul dengan teruk dengan rotan buluh yang berat.
Dia kemudiannya dibelasah hingga mati oleh seorang lelaki dengan kayu. – AGENSI