fbpx

Apakah masa depan MSDeaf akan terkubur?

KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mahu nasib golongan orang pekak di negara ini diberikan perhatian sewajarnya terutama apabila membabitkan penyertaan dalam bidang sukan sama ada di peringkat kebangsaan, ASEAN, Asia Pasifik mahupun dunia.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn berkata, MSDeaf sentiasa memerlukan sokongan dan bantuan dari semua pihak seperti tajaan dan kem latihan pusat bagi melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

Menurutnya, selama ini pun MSDeaf telah membuktikan kemampuannya apabila orang pekak berjaya mengukir nama Malaysia di peringkat dunia seperti olahraga, taekwando, badminton, boling dan beberapa acara lain.

“Tahun ini pula kita jadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali ke 4 yang akan berlangsung September depan.

“MSDeaf dalam persiapan rapi untuk menyambut 24 pasukan bola sepak lelaki dan 10 pasukan wanita dari negara-negara luar.

“Sebab itu kami memerlukan sokongan, bantuan dan tajaan semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Persatuan orang pekak dunia dan komuniti orang pekak dunia sedang memerhatikan kemampuan Malaysia menganjurkan acara terbesar ini, sebab itu kita sedang sedaya upaya menjadikan ia satu realiti,’’ katanya.

Shin Ruenn turut mengakui bahawa tidak banyak pihak berminat membantu MSDeaf, malah pada masa sama sering kali kejayaan atlet-atlet pekak juga kurang mendapat penghargaan atau publisiti sepatutnya.

Beliau berkata, golongan orang pekak di negara ini juga dirasakan kurang  mendapat pembelaan yang  setaraf dengan orang kurang upaya (OKU) yang lain.

“Saya merayu agar kementerian berkenaan dan MSN sentiasalah mendengar keluhan dan hati nurani MSDeaf.

“Sering kali MSDeaf merasakan apabila tiada pembelaan sewajarnya untuk atlet orang pekak seolah-olah mereka (orang pekak) selama ini dikategorikan sebagai ‘kelas ketiga’ berbanding atlet normal dan OKU lain,” katanya.

Untuk makluman, setakat ini dianggarkan lebih 50,000 orang pekak telah berdaftar dengan Kebajikan Masyarakat di negara ini.

Ong Shin Ruenn bersama atlet bola sepak orang pekak Malaysia

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles