KUALA LUMPUR: Adakah perebutan kejuaraan Liga Super musim ini boleh dianggap sudah berakhir atau ‘game over’ memandangkan penyandang, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pun menerajui kedudukan liga hanya selepas tiga perlawanan?
Kemungkinan itu ada memandangkan berdasarkan rekod sejak 2016, skuad Harimau Selatan itu amat sukar untuk ‘tergelincir’ dan sejurus berada di puncak, gelaran Liga Super hampir pasti berada dalam genggaman.
Bukan mahu menidakkan peluang pasukan lain, namun statistik daripada 2016 menunjukkan pasukan itu sememangnya memiliki aura sebagai ‘juara’ dan tidak hairanlah mengapa mereka mengaut sembilan kejuaraan berturut turut.
Dengan persembahan sempurna yang diperagakan anak buah Esteban Solari itu setakat ini, gelaran ke-10 berturut-turut tampak sukar digugat meskipun ketika ini, mereka masih mampu dicabar beberapa pasukan lain khususnya Sabah FC dan Selangor FC.
Rekod bagi musim 2022 menyaksikan mereka mendahului sejak minggu pertama dan jatuh di tangga kedua pada minggu ketujuh dan selepas kembali mendahului pada perlawanan kelapan, mereka terus berada di puncak sehingga penamat musim.
Mereka menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan dan berkelebihan 12 mata mengatasi naib juara, Terengganu (TFC).
Musim 2021 menyaksikan penguasaan penuh JDT di mana selepas memintas Terengganu FC (TFC) pada minggu kedua, mereka terus ‘gayat’ sehingga dinobatkan sebagai juara buat kali kelapan berturut-turut.
Musim 2020 yang berlangsung secara sepusingan susulan COVID-19 pula, selepas berada di puncak bermula minggu ketiga, peluang untuk pasukan lain menjadi juara tertutup apabila mereka mengesahkan kejuaraan dengan 29 mata.
JDT perlu menunggu sehingga perlawanan kelima untuk mendahului musim 2019 sebelum dipintas Pahang pada minggu ketujuh namun kedudukan kedua hanya bertahan seminggu apabila mereka merampas kedudukan pertama pada minggu kelapan.
Selepas mendahului pada perlawanan kelapan, mereka tidak membenarkan kedudukan itu dipintas kembali dan mereka menjuarai musim 2019 dengan 53 mata – 10 mata mengatasi naib juara, Pahang.
Bagi musim 2018 pula, JDT menghuni tangga kedua sehingga minggu ketiga dan selepas mendahului pada minggu keempat, mereka tidak pernah jatuh dan perjalanan mereka lancar sehingga hujung musim untuk menjadi juara.
Namun musim 2017 boleh dianggap musim yang sengit buat JDT kerana mereka menghuni tangga kelapan selepas lima perlawanan dan hanya berjaya mendahului pada minggu kesembilan.
Sejurus mengukuhkan tapak pada kedudukan pertama, tiada apa yang mampu menghalang JDT daripada mengesahkan kejuaraan apabila menghimpun 49 mata.
Begitu juga bagi musim 2016, JDT kehilangan status sebagai pendahulu selama lima minggu selepas mendahului pada minggu kelima namun selepas kembali menerajui pada minggu ke-12, kejuaraan musim terbabit menjadi milik mereka. (Sumber Berita Harian Online)