fbpx

Afiq Muiz hadir ke mahkamah, enggan komen isu rumah tangga

PETALING JAYA: Selepas tidak memberikan kerjasama berhubung permohonan tuntutan cerai secara fasakh oleh isterinya, pelakon, Afiq Muiz akhirnya tampil buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini hari ini.

Tampil berpakaian serba hitam, Afiq yang ditemani Peguam Syarie, Yazid Saat bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atau respons terhadap segala isu yang melanda rumah tangganya.

“Buat masa ini, saya tak boleh nak bagi apa-apa komen. Biar peguam saya yang bercakap,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pendengaran di mahkamah tersebut, hari ini.

Sementara itu, Yazid memaklumkan anak guamnya hanya mengetahui prosiding tersebut selepas membaca laporan di media sahaja tanpa menerima sebarang notis awal.

Katanya, anak guamnya juga tidak memaklumkan sama ada menerima sebarang panggilan atau WhatsApp berhubung prosiding itu.

“Hari ini kami baru tahu sebab itu hadir dan pihak mahkamah benarkan kami masukkan satu pembelaan.

“Ini bermakna, kes akan bermula semula dan pihak kami perlu menghantar pembelaan bertulis di mahkamah. Plaintif akan beri keterangan pada 15 Jun nanti dan akan disoal balas oleh pihak kami,” jelasnya.

Minggu lalu, isteri Afiq, Pachara Apin memaklumkan suaminya tidak memberikan kerjasama semasa prosiding yang didengar di depan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh.

Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan saksi-saksi wanita yang mewakili Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, 32, hari ini.

Pachara memfailkan permohonan fasakh pada Oktober 2022.

Wanita terbabit pada mulanya memfailkan permohonan secara baik pada 22 Ogos 2022, namun terpaksa memfailkan semula permohonan cerai terbabit selepas tidak mendapat sebarang kerjasama daripada suaminya.

Afiq dan Pachara mendirikan rumah tangga pada 2019.

Pada 14 Mei 2021, Pachara membuat laporan polis mendakwa Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk dagu sebanyak dua kali.

Wanita itu turut memuat naik beberapa foto menunjukkan kecederaan dialami, selain beberapa bukti perbualan dipercayai dengan ahli keluarganya.

Pada Disember 2022, Afiq membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, Selangor selepas dituduh mencederakan Pachara.

Afiq dilaporkan berkata, dia akan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi membersihkan namanya. – UTUSAN

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles